May 21, 2026 - FASPerlawanan akhir pertama ACC Shopee Cup™ menentang Buriram United FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam berakhir dengan keputusan 0-1 biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan.
Pada separuh masa pertama, Selangor FC lebih banyak mengawal bola, mencatat lebih banyak hantaran dan percubaan, namun gagal menterjemahkan peluang tersebut. Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-25 menerusi Suphanat Mueanta. Skuad Gergasi Merah terus memberi tekanan pada separuh masa kedua, tetapi disiplin pertahanan lawan dan kegagalan penyudah menghalang mereka daripada mencari gol penyamaan. Walaupun kecewa dengan keputusan ini, prestasi keseluruhan menunjukkan pasukan masih mampu bangkit pada aksi timbal balik di Thailand nanti.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, beliau menyatakan kekecewaan kerana tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan bermain di gelanggang sendiri, namun bangga dengan karakter yang dipamerkan para pemain.
“Pada separuh masa pertama, pasukan menghadapi kesukaran dan membuat terlalu banyak kesilapan. Namun, pada separuh masa kedua, kita bermain dengan baik, mengawal permainan dan mencipta banyak peluang. Mereka menunjukkan karakter yang hebat dan berjaya mengawal permainan menentang Buriram United FC, salah satu pasukan elit Asia. Walaupun mereka berkualiti, kami masih mampu memberi saingan yang baik. Ini perkara positif yang akan kita bawa ke tempat lawan,” katanya.
“Masih ada 90 minit lagi untuk dimainkan. Sudah tentu ia akan menjadi sukar, tetapi sebagai pasukan Selangor, kita perlu kekal kuat dan membanggakan para penyokong serta rakyat Malaysia. Kita akan fokus untuk membuat persiapan rapi bagi perlawanan timbal balik,” tegas Kim Pan-gon.
Minggu hadapan, skuad Selangor FC akan terbang ke Thailand bagi menghadapi perlawanan akhir kedua ACC Shopee Cup™ di Stadium Buriram pada hari Rabu, 27 Mei, jam 8 malam waktu Malaysia.
Pihak pengurusan Selangor FC yakin pasukan akan bangkit dan membuat persiapan terbaik untuk perlawanan akhir kedua ACC Shopee Cup™ minggu hadapan, sekali gus membanggakan penyokong kelab dan rakyat Malaysia. Ayuh, Gergasi Merahku!
Demi Kebanggaan!